BN Terengganu sediakan manifesto boleh ditunaikan





BESUT, 15 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional BN) Terengganu menyediakan manifesto bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang boleh ditunaikan untuk manfaat rakyat, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata manifesto yang akan diumumkan nanti adalah janji yang pasti ditunaikan BN Terengganu mengikut kemampuan dan rekod cemerlang parti itu selama ini.

"BN Terengganu sudah menyiapkan manifesto itu namun perlu menunggu kelulusan daripada Presiden (UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak) terutama yang melibatkan kewangan.

"Salah satu manifesto yang telah diluluskan ialah pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik...kos seunit ialah RM140,000 namun setelah ditolak subsidi kerajaan, harga yang ditawarkan nanti ialah RM68,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tapak Universiti P. Ramlee di Taman Ilmu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di sini, hari ini.

Pada PRU13, BN Terengganu menyenaraikan 18 perkara dalam manifestonya.

Antara perkara yang terkandung dalam manifesto itu ialah membina 10,000 unit rumah mampu milik, memberi peluang kepada rakyat memiliki sebuah tapak rumah atau sebuah tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

BN Terengganu juga berjanji untuk membina tiga lagi sekolah Imtiaz, masing-masing di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.

Ahmad Razif berkata kesemua perkara di dalam manifesto pada PRU13 itu telahpun berjaya dilaksanakan BN Terengganu.

"Tak ada satu pun kita hutang (kepada rakyat)...semua kita dah buat dan itu tanda kecemerlangan perkhidmatan BN Terengganu selama ini," katanya.

-- BERNAMA