MCA senarai calon berwibawa, muka baharu di Pahang




KUANTAN, 15 Mac (Bernama) -- MCA menyenaraikan calon yang berwibawa termasuk muka baharu untuk bertanding di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) khususnya dalam misi untuk menawan kembali kerusi daripada pembangkang, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kita telah hantar senarai pendek calon kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN)),kita tunggu pengumuman beliau, " katanya.

Beliau berkata calon yang dicadangkan MCA untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuantan merupakan muka baharu yang merupakan tokoh setempat dan mudah didekati rakyat.

"MCA berkeyakinan penuh mampu menawan kembali Parlimen Kuantan daripada pembangkang berikutan kepercayaan pengundi di kawasan itu terutama masyarakat cina terhadap kerajaan BN telah kembali pulih dengan adanya pelbagai projek mega," katanya.

Liow berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama veteran MCA Kuantan dan Indera Mahkota di sini, hari ini.

"Di Kuantan sudah ada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Pelabuhan Kuantan yang bakal bertaraf antarabangsa dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan ini jelas menunjukkan agenda transformasi kerajaan untuk mengubah bandar ini cukup jelas.

Jadi saya berharap rakyat Kuantan tidak terlepas dengan peluang pembangunan yang dihidangkan oleh kerajaan dengan terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional bagi menjadikan Kuantan sebagai bandar termaju di Pantai Timur," katanya.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan dalam masa yang sama turut menyatakan rasa puas hati dengan persiapan jentera MCA sehingga peringkat akar umbi dalam usaha untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14 termasuk gerak kerja oleh anggota veteran parti.

Mengulas tentang kerusi Parlimen Bentong yang disebut-sebut sebagai antara kerusi panas di negeri ini, Liow menzahirkan keyakinan akan dapat terus mempertahankan kerusi Parlimen itu daripada jatuh ke tangan pembangkang sekiranya sekali lagi dipilih untuk bertanding di kerusi itu pada PRU14.

"Kita sudah bergerak lama dan telah banyak membawa kemajuan di Bentong. Malah Bentong juga bakal menjadi bandar satelit yang akan dimajukan lagi dengan sektor agro pelancongan serta pertanian dan rakyat pastinya mahu agenda pembangunan ini diteruslkan," katanya.

-- BERNAMA