Beri mandat pula kepada BN bangunkan Kelantan - TPM Zahid





BACHOK, 16 Mac (Bernama) -- Rakyat Kelantan perlu memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi membolehkan ia membangunkan negeri ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya bagi BN dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamad untuk memajukan Kelantan serta memakmurkan rakyat negeri ini.

"Cukuplah 27 tahun (kerajaan PAS terajui Kelantan), berilah peluang pula kepada Barisan Nasional. Ini zaman kita, zaman Tok Pa (Mustapa) sebagai pemimpin utama untuk membangunkan Kelantan - cubalah sekali beri mandat kepada BN," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian Bantuan Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Husin.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, berkata kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang mampu membangunkan Kelantan selain sentiasa berusaha membela nasib rakyat.

Sambil rakyat seharusnya bersyukur dengan pelbagai pembangunan dan kemajuan yang dibawa kerajaan persekutuan di Kelantan sejak sekian lama, beliau berkata lebih banyak lagi kemajuan untuk rakyat negeri itu akan dilakukan jika BN memerintah di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Bagi menghadapi PRU14 tidak lama lagi, Ahmad Zahid mahu jentera UMNO dan BN bersatu hati serta bekerja kuat membantu kemenangan calon-calon BN yang bertanding di negeri ini termasuk di Bachok.

Dalam ucapannya yang disambut tepukan gemuruh ribuan hadirin, beliau turut mengumumkan berita gembira untuk penduduk di Parlimen Bachok iaitu peruntukan RM2 juta bagi membaik pulih masjid, membaiki rumah (RM2.5 juta), bantuan kepada ibu tunggal (RM1 juta) dan membina pejabat baharu Persatuan Nelayan Jajahan Bachok (RM1 juta).

Beliau turut mengumumkan bahawa Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) akan dibina di Bachok selain nama stesen keretapi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jelawat ditukar kepada Stesen Universiti Malaysia Kelantan.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan Bantuan Sara Hidup berjumlah RM853,798 kepada para petani di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak yang terjejas akibat banjir pada tahun lepas serta Bantuan Sara Hidup berjumlah RM2.93 juta kepada nelayan di jajahan Bachok.

-- BERNAMA