Gerakan cadangkan Dr Cheah dan Tan calon DUN Derga, DUN Sidam

ALOR SETAR, 16 Mac (Bernama) -- Gerakan mencadangkan Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Gerakan Kedah Datuk Dr Cheah Soon Hai dan Anggota Jawatankuasa Gerakan Kedah Tan Kok Seong sebagai calon untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan DUN Sidam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Perkara itu dinyatakan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Gerakan Negeri Kedah di pejabat parti itu di sini, hari ini.
Mah berkata parti itu juga mencalonkan Pengerusi Gerakan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Timbalan Setiausaha Gerakan Kebangsaan Dr Thor Teong Gee untuk bertanding di negeri itu tanpa menyatakan kerusi yang dicadangkan ditandingi.
Mengulas pemilihan Cheah dan Tan, beliau berkata kedua-dua mereka adalah calon yang paling sesuai kerana telah dikenali dan sering menabur bakti di DUN berkenaan.
"Selepas (calon) kita tewas di dua-dua kerusi itu pada 2013 (PRU13), kedua-dua mereka telah bekerja dengan kuat dan yakin rakyat akan membuat penilaian terbaik siapakah pemimpin yang boleh membantu mereka," katanya.
Mah berkata Dr Cheah yang merupakan calon parti di DUN Derga pada PRU13 iaitu dalam kawasan Parlimen Pokok Sena merupakan seorang doktor perubatan dan khidmatnya sangat baik di kawasan itu.
Sementara Tan yang merupakan muka baharu pula sentiasa memberikan khidmat bakti dan bantuan yang sangat diperlukan penduduk Sidam iaitu dalam kawasan Parlimen Sungai Petani setelah penduduk kecewa dengan wakil rakyat pembangkang daripada PKR yang gagal menyelesaikan masalah mereka, katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin mereka adalah calon yang terbaik dan mampu menawan kembali kedua-dua DUN tersebut pada PRU14.
Mengulas keadaan di Pulau Pinang, Mah yakin Gerakan akan kembali bangkit selepas calonnya kalah teruk pada PRU13.
--BERNAMA