Memacu Melaka Menuju Negeri Maju Fasa Kedua




Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron Foto Bernama

Oleh Fadzli Ramli

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, Bernama mewawancara Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron untuk melihat sejauh mana pencapaian beliau dan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional memacu ekonomi negeri itu untuk muncul sebagai sebuah negeri maju.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tanggal 20 Okt, 2010 terpahat sebagai tarikh penuh bersejarah buat Melaka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkannya sebagai negeri maju.



Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron Foto Bernama

Melaka, yang juga bertaraf negeri Bandar Teknologi Hijau, mendapat pengiktirafan itu setelah memenuhi lima aspek penting iaitu ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran.

Pencapaian itu bukti nyata kerajaan negeri mampu menyediakan persekitaran terbaik untuk rakyat nya, namun persoalannya kini ke mana arah Melaka seterusnya selepas mengecap kejayaan yang cukup tinggi itu?.

Perkara itulah yang bermain di benak fikiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada detik beliau mula menerajui negeri ini selepas selesai mengangkat sumpah menyandang jawatan itu pada 7 Mei, 2013, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.


Kompleks Seri Negeri tersergam indah di Ayer Keroh Foto Bernama


"Saya tidak menduga akan mengambil alih jawatan ketua menteri. Apabila wartawan bertanya apa pelan saya untuk Melaka selepas selesai upacara angkat sumpah, hanya satu sahaja yang menerjah fikiran saya iaitu tidak mengurangkan segala perancangan yang ada malah cuba tambah baik.

"Pada saya ini suatu cabaran yang cukup besar kerana apabila sesuatu itu berada di atas lantai mudah bagi kita mengangkatnya, tetapi Melaka ketika itu mencapai sesuatu yang cukup tinggi malah hampir ke kemuncak maka hendak diangkat lebih tinggi cukup sukar," katanya dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

BUKAN PERKARA MUDAH

Menurut Idris dalam membuat perancangan untuk Melaka meningkat ke tahap seterusnya, pelan dan perancangan ?syok sendiri' perlu dielakkan.

Beliau berkata pencapaian negeri ini mestilah dinilai daripada pihak lain bukan dinilai kerajaan negeri sendiri, dalam konteks ini penilai terbaik adalah rakyat Melaka sendiri.

Justeru segala perancangan yang dibuat mestilah untuk meningkatkan tahap kehidupan rakyat Melaka kepada yang lebih baik daripada sebelumnya.

Ketua Menteri Melaka bagaimanapun akur perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

"Lebih sukar untuk mengekal dan menyelenggara, malah ada pihak yang berkata mudah untuk membina tetapi mengekal itu lebih sukar. Mengekal kecemerlangan itu lebih sukar, apatah lagi mengangkat ke tahap lebih tinggi.

"Akhirnya saya datang dengan perancangan Melaka Maju Fasa Kedua. Saya letak empat ciri utama sebagai tunjang perancangan itu," katanya.

Perancangan Melaka Maju Fasa Kedua merangkumi tempoh 10 tahun bagi mencapai sasaran menjadi sebuah negeri maju yang mempunyai ekonomi mampan dengan rakyat berpendapatan tinggi.

CIRI UTAMA

Menceritakan ciri utama yang perlu dicapai Melaka Maju Fasa Kedua, Idris berkata ciri pertama kerajaan negeri dan semua pihak terlibat termasuk agensi kerajaan serta swasta perlu pastikan ialah perkhidmatan berada pada kualiti tertinggi setanding dengan kehendak pelanggan terutama rakyat.

Dalam usaha memastikan perkhidmatan itu setanding dengan kehendak pelanggan, beliau menegaskan sistem dan mekanisma yang dilaksanakan mestilah mampu meletak perkhidmatan itu pada tahap tertinggi dan mengekalkan atau membawanya ke tahap lebih tinggi, iaitu ciri kedua.

"Di bawah ciri ketiga persekitaran Melaka mestilah sentiasa kondusif. Mereka yang datang ke Melaka berasa seronok dan sentiasa ingin kembali ke Melaka pada bila-bila masa.

"Ciri keempat ialah merubah mentaliti rakyat Melaka sendiri menjadi sebuah masyarakat yang berada dalam mentaliti negara maju. Penting untuk memastikan rakyat dapat menyokong perlaksanaan Melaka Maju Fasa Kedua dengan lebih berkesan," katanya.

PEMBANGUNAN EKONOMI

Menurut Idris, melalui Melaka Maju Fasa Kedua juga, negeri ini mengorak langkah melaksanakan pelbagai kerjasama ekonomi dan paling signifikan ialah kerjasama dengan China terutama wilayah Guangdong melalui inisiatif ?One Belt One Road' oleh kerajaan negara itu.

Beliau berkata daripada aspek pelaburan, Melaka mampu meraih pelaburan berjumlah RM22.5 bilion sejak beliau mentadbir Melaka pada tahun 2013 dan pelaburan itu melimpahkan hasil ekonomi kepada rakyat terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan.

"Ekonomi Melaka yang berkembang maju menjadi pilihan buat pelabur. Gagasan ini menjadi kenyataan apabila Melaka Gateway dijangka peroleh perlaburan sekitar RM40 bilion dalam 25 tahun, projek Melaka Impression sebuah pementasan budaya mampu tarik 1.2 juta pelancong.

"Xinyi Glass melabur RM2.8 billion di Melaka juga Edra Energy dengan pelaburan RM4.5 billion, ini semua kita dan rakyat semuanya dapat lihat secara nyata. Semuanya ini juga hasil hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan," katanya.

Melihat kepada ekonomi negeri, pada 2013 pertumbuhan ekonomi Melaka berada pada tahap 2.4 peratus setahun dan hasil segala usaha dilakukan, pertumbuhan ekonomi meningkat kepada 4.5 peratus setahun pada 2016.

Selain itu, jumlah pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM27.9 billion pada tahun 2013 kepada RM33.2 billion pada tahun 2016.

Sektor perkhidmatan termasuk melibatkan pelancongan merupakan penyumbang utama ekonomi negeri dengan 45.6 peratus diikuti sektor pembuatan 40.9 peratus.

Idris berkata jumlah pelancong yang datang ke Melaka juga meningkat kepada 16.79 juta pada 2017 berbanding 16.28 juta pada 2016 dan 15.74 juta pada 2015.

Peningkatan itu, katanya, membuktikan kemakmuran Melaka mampu menarik kunjungan lebih ramai pelancong.

RUMAH MAMPU MILIK

Idris berkata satu lagi komponen penting dalam merencana Melaka Maju Fasa Kedua ialah manifesto BN pada PRU Ke-13, antara lain merencana kehidupan yang lebih baik buat rakyat terutamanya menyediakan rumah mampu milik buat rakyat.

"Bila buka balik manifesto PRU lepas yang kita berikan kepada rakyat, buka satu persatu kita akan lihat hari ini kerajaan BN telah menepati hampir 100 peratus. Ini termasuk rumah mampu milik untuk rakyat dan Melaka menunjukkan prestasi cemerlang.

"Dalam laporan Khazanah Research Institute, Melaka adalah negeri pembekal rumah paling mampu milik amat jauh berbanding Pulau Pinang yang ditadbir pembangkang," katanya.

Berdasarkan laporan itu Melaka adalah penyedia rumah paling mampu dimiliki di negara ini dengan indeks 2.43, yang merujuk kepada nisbah harga rumah kepada pendapatan tahunan isi rumah, berbanding Pulau Pinang yang berada pada indeks 6.32.

Berdasarkan agenda Program Perumahan Rakyat dan Perumahan Mampu Milik yang dilaksana antara 2014 hingga tahun ini, kerajaan negeri berjaya membina 6,309 unit rumah, manakala kerajaan persekutuan membina 3,778 unit rumah.

Agenda itu yang disebut dalam Laporan Data Asas Melaka juga menyatakan bahawa sebanyak 5,773 unit rumah dalam pembinaan oleh kerajaan persekutuan dan 18,582 unit oleh kerajaan negeri, manakala 18,379 unit dalam perancangan kerajaan negeri dan 9,750 unit oleh kerajaan persekutuan.

PENINGKATAN HIDUP RAKYAT

Idris berkata hasil perlaksanaan Melaka Maju Fasa kedua juga dapat dilihat daripada peningkatan kualiti hidup rakyat yang bertambah baik, membuktikan kerajaan BN bekerja demi rakyat dan bukan hanya bermain politik.

"Saya yakin dan percaya rakyat bijak menilai siapa yang suka beretorik dan siapa yang melakukan kerja. Kita tidak berpolitik kerana fakta indikator berasaskan angka ini boleh dinilai dan rakyat mengecapi kemakmuran," katanya.

Beliau berkata jurang pendapatan bandar dan luar bandar di Melaka ialah 0.08, satu jumlah amat kecil kerana pembangunan ekonomi yang pesat serta perkembangan jalan raya yang memudahkan perhubungan pantas antara dua kawasan itu.

Selain itu, beliau berkata kadar pengganguran Melaka juga menurun tahun lepas kepada 0.7 peratus daripada 0.9 peratus pada 2016.

Pendapatan per kapita Melaka meningkat kepada RM41,363 pada 2016 berbanding RM35,699 pada 2013.

"Satu lagi indikator ialah jumlah pungutan zakat yang meningkat di Melaka, malah terdapat 162 orang yang membayar zakat RM25,000 ke atas. Ini bermakna kita ada 162 orang jutawan berbanding sekitar 16 pada 2004," katanya.

Berdasarkan Laporan Data Asas Melaka, jumlah zakat dikutip di Melaka ialah sebanyak RM70.5 juta berbanding RM66 juta pada 2015 dan RM58.3 juta pada 2014.

MODEL ANTARABANGSA

Idris menceritakan model pembangunan Melaka terutamanya melibatkan Melaka Maju Fasa Kedua dan pembangunan berdasarkan teknologi hijau dan bandar mampan telah menarik perhatian pelbagai pihak peringkat antarabangsa.

Malah, beliau turut membentangkan kertas kerja mengenai inisiatif itu dalam persidangan di lebih 20 buah negara seluruh dunia, antaranya Belgium, Jerman, England, Thailand dan Singapura.

Selain itu, menurut beliau, Melaka juga menerima pelbagai pengiktirafan peringkat antarabangsa antaranya 'Green Apple Awards' untuk pembangunan teknologi hijau dan 'Top 10 Must Visit Place' oleh Lonely Planet.

"Ini semua dilakukan demi kerana rakyat. Jadi saya percaya rakyat dapat melihat semua pencapaian ini dan boleh menilai serta menterjemahkannya untuk terus menyokong BN pada PRU ke-14 nanti," kata beliau.

BERNAMA