BN Sarawak lebih mantap untuk rampas kembali kerusi
SIBU, 17 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin dapat merampas kembali kerusi parlimen di negeri ini yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Gerald Rentap Jabu berkata, keyakinan itu adalah kerana selain sudah lama bersiap sedia menghadapi PRU-14, BN Sarawak kini sudah lebih teratur dan mantap.
Beliau juga berkata PBB yang merupakan tulang belakang BN Sarawak kini berada pada tahap siap siaga dan mampu memain peranan penting dalam membantu BN Sarawak memperolehi kemenangan besar nanti.
"Kita boleh menang, saya percaya kita boleh melakukannya, objektif kita adalah untuk menang, kerana inisiatif Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) memperjuangkan hak Sarawak memerlukan suara yang kuat," katanya kepada pemberita selepas Malam Mesra Pemuda PBB Zon Tengah di Taman Tasik Permai malam semalam.
Pada PRU 13 yang lalu enam kerusi parlimen di Sarawak dimenangi pembangkang di mana DAP menang di Bandar Kuching , Stampin , Sarikei , Sibu dan Lanang manakala PKR menang di Miri.
Sementara itu menyentuh tentang persiapan Pemuda PBB Sarawak bagi menghadapi PRU 14 Gerald yang juga Anggota Dewan Udangan Negeri (ADUN) Layar berkata, jentera pilihan raya Pemuda peringkat ranting dan cawangan seluruh negeri kini sudah diaktifkan.
"Bilik gerakan peringkat ranting dan cawangan juga sudah diaktifkan. Kita juga akan bekerja sama dengan Pergerakan Wanita dan bapa PBB untuk menemui dan mendapatkan profail pengundi-pengundi di tempat masing-masing," jelasnya.
Selain itu Armada Pemuda PBB juga sudahpun digerakan sebelum konvensyen PBB Sarawak di Kuching pada Februari lalu lagi telah berjaya memantapkan perpaduan serta kerjasama semua peringkat Pemuda PBB di seluruh negeri ini.
Antara turut hadir ialah Naib Presiden PBB merangkap Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr.Annuar Rapa'ee, ADUN Machan, Allan Siden Gramong dan ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Ijang.
--BERNAMA