UMNO, BN Sabah mampu menang, rampas kerusi pembangkang
SEMPORNA, 17 Mac (Bernama) -- UMNO Sabah yakin Barisan Nasional (BN) bukan sahaja dapat mengekalkan 22 kerusi di Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) malah merampas kembali kerusi tertentu dimenangi pembangkang untuk PRU14 kali ini.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata kerusi Parlimen Sandakan dan Kota Kinabalu yang dimenangi oleh calon DAP pada PRU lepas mampu dirampas BN kembali.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah itu turut berkata, perkara itu berdasarkan dapatan kajian sikap terhadap keyakinan rakyat di negeri ini yang masih menunjukkan kecenderungan terhadap UMNO dan BN kerana hasil usaha tulus yang ditunjukkan kerajaan pusat dan negeri dalam menyantuni rakyat.
"Daripada peratusan kajian sikap rakyat Sabah sangat bagus misalnya kita melihat kepada pengundi-pengundi di Semporna merangkumi Dewan Undangan Negeri Bugaya, Senallang dan Sulabayan.
"Kajian sikap ini dilaksanakan oleh agensi-agensi tertentu dan kesemua peratusan kajian antara agensi ini realistik dan selari," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Sekampung di Kampung Lahat di sini.
Pada PRU13, BN memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan antaranya Tawau, Semporna, Silam dan Kalabakan.
Dalam pada itu, Ramlee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya berkata program simulasi PRU14: Taklimat Dry Run PRU yang diadakan di setiap Parlimen di Sabah merupakan penunjuk parameter terakhir persiapan UMNO dan BN negeri ini dengan tumpuan seluruh barisan jentera BN adalah untuk menang.
"Siap siaga jentera kita di seluruh Sabah sudah 100 peratus dan kita sedia gempur," katanya lagi.
Sementara itu, mengenai program Ziarah Sekampung, Ramlee berkata aktiviti menyantuni rakyat itu bukan aktiviti terakhir sebaliknya ia merupakan aktiviti jelajah Semporna berterusan dilaksanakan UMNO dan BN.
"Kita tidak ada minggu menyantuni rakyat baik jelajah kasih atau apa nama program sekali pun, kerana setiap masa di Semporna TATAP (kekal) BN bantu rakyat," katanya yang turut menzahirkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda, Wanita dan serta Puteri UMNO yang menjadi tulang belakang turun ke lapangan bertemu rakyat.
-- BERNAMA