MIC tunggu lampu hijau PM, umum calon Cameron Highlands
SEGAMAT, 17 Mac (Bernama) -- MIC sudah bersedia untuk mengumumkan calonnya yang akan bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata mereka kini cuma menunggu arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum berbuat demikian.
"Kita sudah bersedia untuk umum calon, hanya tunggu arahan perdana menteri sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Mesra Rakyat di Padang Awam Jementah, di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang merupakan kerusi tradisi MIC dilaporkan turut diintai Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) dengan Presidennya Tan Sri M. Kayveas secara terbuka menyatakan beliau telah bekerja keras selama lebih tiga tahun untuk memenangi hati pengundi di kawasan berkenaan.
Kerusi itu kini disandang bekas Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang telah dipecat daripada parti tersebut susulan krisis dalaman. Pada PRU yang lalu, Palanivel menang dengan majoriti tipis 462 undi dalam pertandingan lima penjuru menentang DAP, Berjasa serta dua calon Bebas.
Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, berkata seperti parti politik lain, MIC mengambil kira aspek kesesuaian calon serta keperluan politik semasa dalam memilih calon untuk PRU akan datang.
"Semua parti kena buat macam itu. Sesiapa juga pasti mahu letak calon yang tidak akan kalah," katanya.
Beliau berkata MIC menyasarkan untuk menang tujuh kerusi parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 28 kerusi yang dijangka ditandingi mereka pada PRU akan datang.
Pada PRU lalu, MIC menang empat daripada sembilan kerusi parlimen dan lima daripada 16 kerusi DUN yang ditandinginya.
Mengenai fiesta tu, Dr Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat, berkata program yang mengumpulkan kira-kira 80 buah agensi kerajaan tersebut diyakini memberi pelbagai faedah dan manfaat kepada masyarakat sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk memahami kaedah dan strategi kerajaan dalam membangunkan negara.
Fiesta NBOS Mesra Rakyat di Parlimen Segamat yang dihadiri kira-kira 15,000 pengunjung itu merupakan penganjuran keempat selepas diadakan di Kluang, Johor pada 11 Feb lepas; Pekan, Pahang pada 23 Sept tahun lepas dan Bagan Datuk, Perak pada 19 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA