Hilmi sedia pertahan kerusi Balik Pulau




PULAU PINANG, 17 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya sedia mempertahankan kerusi parlimen Balik Pulau, yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada 2013.

Hilmi, yang merupakan penyandang kerusi itu dan telah bertanding dalam enam pilihan raya umum lepas, berkata beliau bersedia untuk mempertahankan kerusi itu demi kebaikan penduduk Balik Pulau.

"Jika diberi mandat oleh Perdana Menteri, saya sedia mempertahankan kawasan parlimen Balik Pulau ini sekali lagi sekiranya dipilih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek Tabung Penyenggaraan 1Malaysia (TP1M) di Taman Desa Genting di sini hari ini.

Hilmi berkata beliau sedia bertanding, tetapi terserahlah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan sama ada beliau patut bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Pada 2008, kerusi parlimen Balik Pulau dimenangi calon PKR Mohd Yusmadi Mohd Yusoff , sebelum Dr Hilmi merampasnya dengan majoriti 1,539 undi pada 2013 dalam pertandingan menentang Muhammad Bakhtiar Wan Chik daripada PKR.

-- BERNAMA