Pembangkang diminta tidak kelirukan rakyat dengan isu peruntukan




KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini membidas tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, kerana sengaja mengelirukan rakyat dengan membangkitkan isu peruntukannya sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai itu berkata Nurul Izzah tidak harus menjadikan perkara itu sebagai isu kerana sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya berusaha mencari sendiri peruntukan seperti mana yang dilakukan wakil rakyat BN.

"Mereka (wakil rakyat BN) berusaha mencari sendiri peruntukan serta mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan dalam usaha membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Karnival Jualan Kilang Lembah Pantai di sini, hari ini.

Raja Nong Chik berkata beliau juga tidak mendapat peruntukan kerajaan pusat dan berusaha sendiri dengan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak bagi membantu penduduk di Lembah Pantai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jelajah Karnival Jualan Kilang Datuk Azman Yusoff berkata pihaknya mendapat kerjasama 25 kilang pengeluar barang untuk menawarkan harga lebih murah bagi penduduk Lembah Pantai.

"Pelbagai jenis barang asas termasuk beras, tepung, minyak masak dan bawang dijual dengan harga yang 30 peratus lebh murah daripada harga pasaran.

"Kami akan meneruskan karnival ini di kawasan Taman Sri Sentosa dalam masa terdekat bagi meringankan beban penduduk dari segi perbelanjaan harian," katanya.

-- BERNAMA