TPM Zahid rasmi bangunan baharu UMNO Batu Kawan





BUKIT MERTAJAM, 17 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan bangunan baharu UMNO Bahagian Batu Kawan, di sini.

Bangunan tiga tingkat itu menempatkan bilik mesyuarat, pejabat UMNO Bahagian Batu Kawan, pejabat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Batu Kawan serta pejabat TEKUN Nasional cawangan Batu Kawan.

Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Mohd Noor Ahmad berkata bangunan itu dibeli daripada pemaju di Taman Seri Delima, Juru di sini dengan harga RM872,000 pada hujung 2016.

"Sebelum ini, kami sewa bangunan di Tambun Indah, Bukit Tambun sejak 2013. Selepas itu, kami beli bangunan sendiri di Taman Seri Delima," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pejabat baharu itu memudahkan rakyat untuk berurusan dan mendapat perkhidmatan daripada UMNO Bahagian Batu Kawan.

Ia juga akan dijadikan pusat operasi bagi UMNO Bahagian Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

-- BERNAMA