Kesedaran sokong BN di pedalaman semakin meningkat - Sairin




Datuk Sairin Karno (gambar fail)

KENINGAU, 17 Mac (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Keningau Datuk Sairin Karno berkata, kesedaran rakyat pedalaman tentang perlunya menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin tinggi.

"Mereka (rakyat) yakin dengan BN...mereka yakin dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai pengemudi kerajaan yang cekap dan berjiwa rakyat.

"Rakyat tidak mahu mencari risiko untuk mengundi pembangkang yang perjuangan politik mereka kabur," katanya kepada Bernama selepas merasmikan simulasi PRU14 Dry Run PRU bersama 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bingkor di sini hari ini.

Terdahulu Sairin merasmikan majlis yang sama melibatkan 16 PDM Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan di Tambunan.

Sairin yang merupakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, BN tidak gentar dengan kehadiran parti-parti pembangkang di kawasan itu kerana rakyat berpihak kepada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera parti supaya mengikis sikap terlalu yakin, sebaliknya melipatgandakan usaha mendekati rakyat khususnya yang tinggal jauh di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA