Penerangan bersemuka masih penting dan relevan-UMNO Selangor




SHAH ALAM, 18 Mac (Bernama) -- Konsep penerangan secara bersemuka mengenai isu-isu semasa kepada rakyat masih relevan dan penting walaupun kebanyakan pengundi terutamanya golongan muda kini lebih mudah tertarik kaedah penyebaran maklumat menerusi media baharu.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata pendekatan itu mustahak dan disebabkan itu, pihaknya terus fokus mempergiat dan memperkemas gerak kerja secara bersemuka dengan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Disebabkan itu, bahagian penerangan UMNO Selangor menyediakan manual penerangan untuk diedar kepada semua koordinator Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pusat daerah mengundi supaya isu yang kita mahu rakyat faham dapat dikembangkan secara lebih selaras dan menyeluruh,"katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Makmal Penceramah Barisan Nasional Selangor, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Subang berkata manual penerangan yang akan digunakan dalam ceramah menjelang dan semasa PRU14 itu juga harus dijadikan panduan supaya jentera parti lebih mudah hadam dengan jelas mengenai isu-isu negeri yang dibangkitkan sebelum bersemuka dengan rakyat.

Zein Isma berkata bagi PRU14 kali ini, pihaknya akan menampilkan barisan penceramah daripada pelbagai peringkat masyarakat termasuk golongan profesional, anak muda dan penggiat pertubuhan bukan kerajaan supaya objektif menyantuni rakyat dan merampas kembali Selangor terus tercapai.

Kira-kira 500 wakil jentera BN dari setiap DUN di negeri itu menghadiri sesi makmal penceramah yang berlangsung hari ini bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang.

-- BERNAMA