DAP umum Anggota Parlimen Kluang tanding kerusi Ayer Hitam
BATU PAHAT, 18 Mac (Bernama) -- DAP terus mempraktikkan taktik 'lar\' kawasan apabila mengumumkan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pemilihan Anggota Parlimen Kluang itu diumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika berucap pada Perayaan Ulang Tahun Ke-52 DAP di Pusat Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Ayer Hitam, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Pengumuman tersebut sekali gus menyaksikan kali kedua Liew, 41, beralih kawasan yang ditandingi beliau pada PRU-12.
Liew yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera sebelum berpindah ke Johor dengan bertanding di kerusi Parlimen Kluang pada PRU lepas.
Kerusi Parlimen Ayer Hitam kini dikuasai Barisan Nasional (BN) selama tiga penggal sejak 2004 menerusi Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Wee pada PRU lepas menewaskan calon PAS, Hu Pang Chow dengan majoriti 7,310 undi.
Sementara itu, Liew yang ditemui pemberita menafikan beliau 'lari' dari Parlimen Kluang sebaliknya hanya mencuba kerusi yang dianggap mustahil untuk dimenangi DAP.
"Saya tidak lari dari Kluang. Saya bertanding di satu kerusi di mana semua orang anggap tidak boleh menang.
"Ayer Hitam dianggap satu kawasan yang paling kuat dalam MCA dan BN,"katanya yang mengakui bukan mudah untuk menawan kerusi Parlimen Ayer Hitam.
Sementara itu, mengulas mengenai pencalonan Liew, Mahathir berkata Ayer Hitam mungkin menjadi 'Gelang Patah kedua' yang menyaksikan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman tewas kepada Lim Kit Siang pada PRU lepas.
"Apa yang jadi di Gelang Patah mungkin boleh terjadi di Ayer Hitam. Kita tunggu nanti,"kata beliau.
-- BERNAMA