Rebut peluang biasiswa untuk masa depan - Najib
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi beberapa pilihan pembiayaan pendidikan yang kerajaan sediakan untuk pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 bagi menyambung pengajian, termasuk Program Penajaan 9A+ yang permohonannya dibuka mulai esok.
Perdana menteri berkata berbekalkan keputusan sekurang-kurangnya 9A+, pelajar yang dipilih akan mendapat tajaan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang yang ditetapkan ke universiti awam dan swasta dalam negara.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewujudkan Program Khas Jepun, Korea, Jerman dan Perancis untuk menaja pelajar cemerlang yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang seperti kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.
"Permohonan untuk program ini dibuka dari 19 hingga 26 Mac 2018,"kata Najib sambil menarik perhatian bahawa keputusan keseluruhan SPM 2017 meningkat dengan Gred Purata Nasional yang lebih baik iaitu 4.90 berbanding 5.05 pada 2016.
Dalam catatan beliau di blog NajibRazak.com hari ini, perdana menteri berkata program khas itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan kerajaan untuk membantu pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Dalam Bajet 2018, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan bagi pemberian biasiswa di bawah JPA, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.
"Sebanyak RM90 juta pula diperuntukkan untuk Program MyBrain bagi memanfaatkan 10,600 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran,"kata Najib.
Selain itu, penuntut insitusi pengajian tinggi dalam negara juga menerima manfaat Bantuan Baucar Buku sebanyak RM250.
Perdana menteri berkata kerajaan menyediakan peruntukan biasiswa sebanyak RM44 bilion sejak 2009 sebagai pelaburan untuk membina modal insan dan memastikan anak-anak yang merupakan aset negara berupaya merealisasikan potensi sebenar mereka.
Najib berkata konsep mobiliti sosial itu akan terus diperjuang bagi membina masyarakat dan negara yang adil dan inklusif.
"Saya harap peluang biasiswa ini tidak dipersia-siakan oleh anak-anak kita, rebutlah peluang ini untuk melakar masa depan dan jadikanlah ia sebagai satu platform untuk menyumbang kembali kepada negara pada masa hadapan,"kata beliau.
Perdana menteri berkata melalui pendidikan juga, anak-anak yang kurang bernasib baik mampu mengubah hidup mereka dan keluarga kepada tahap yang lebih baik.
"Dengan usaha gigih dan bantuan kerajaan, seorang anak peneroka Felda, nelayan atau petani kini mampu berjaya sebagai seorang profesional seperti jurutera, akauntan, doktor atau peguam,"kata beliau.
-- BERNAMA