Pemuda BN perlu aktif patah fitnah media pembangkang - Mohamad
REMBAU, 18 Mac (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau disaran bergerak aktif mematahkan fitnah yang disebarkan oleh media pembangkang, sekaligus menyakinkan pengundi untuk terus bersama BN.
Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata media sosial amat penting untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana walaupun BN mempunyai banyak fakta tetapi pembangkang tetap akan mempermainkan sentimen emosi bagi mengurangkan keyakinan pengundi.
"Jika dilihat contoh di negara-negara lain seperti kempen yang dilakukan Presiden US Donald Trump, semua kempennya berasaskan media sosial untuk meyakinkan pengundi dan dapat diperluaskan sehingga berjuta orang di seluruh negara tersebut,"katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda BN Rembau di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Datuk Seri Dr Awaluddin Said dan ADUN Chembong Datuk Zaifulbahri Idris.
Mohamad yang juga menteri besar berkata pemuda BN perlu membidas dan menepis segala tohmahan pembangkang di media sosial agar mereka tidak bermaharajalela.
Selain itu, Briged Gempur Pemuda BN juga perlu memastikan keyakinan dan emosi pengundi terhadap BN kekal utuh dan seterusnya membantu parti itu menang selesa dengan majoriti dua pertiga pada PRU-14.
"Gempur, ganyang dan hentam pembangkang bagi meningkatkan undi majoriti supaya dapat menang dengan selesa seterusnya dapat menubuhkan kerajaan.
"Itu sebab saya bersetuju dan yakin agar Parlimen Rembau, Teluk Kemang dan Seremban mesti berada di tangan kita untuk memastikan kemenangan selesa dua pertiga BN di negeri ini,"katanya.
Sementara itu, pada majlis yang dihadiri 1,000 hadirin, Mohamad dilantik sebagai kapten pemuda BN Parlimen Rembau untuk menerajui mereka bagi menghadapi PRU14.
-- BERNAMA