PRU14: Gerakan ketengah calon Melayu, India di Pulau Pinang
TELUK INTAN, 18 Mac (Bernama) -- Gerakan akan mengetengahkan muka baharu dan golongan muda sebagai calon parti itu di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata pihaknya juga akan memberi peluang kepada calon kaum Melayu dan India untuk bertanding atas tiket parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau berkata parti itu juga mencalonkan Pengerusi Gerakan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow untuk bertanding semula di negeri itu tanpa menyatakan kerusi yang dicadangkan ditandinginya.
"Kami yakin prestasi BN di Pulau Pinang akan bertambah baik dan rakyat di negeri itu akan memberi peluang kepada BN (kembali memerintah kerajaan negeri)," katanya.
Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 700 penerima terdiri penduduk setempat Kampung Bahagia di sini hari ini.
Mah berkata kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP mempunyai pelbagai isu kontroversi seperti projek pembinaan terowong dasar laut dan aktiviti penarahan bukit yang gagal untuk diselesaikan.
"Saya pasti dengan masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, rakyat akan memberi lebih kerusi kepada BN," katanya.
Pada Khamis lepas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan keyakinan angin perubahan akan berlaku di Pulau Pinang pada PRU14 akan datang.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata ia berikutan beberapa kelemahan dan kepincangan kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang mula memberi tamparan kepada rakyat negeri itu.
Ahmad Zahid berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) BN di negeri itu yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP.
Pulau Pinang kini di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan apabila DAP menang 19 daripada 40 kerusi DUN dan PKR 10 kerusi. BN memperoleh 10 kerusi manakala satu kerusi lagi diwakili PAS.
-- BERNAMA