Sabah perlu bersatu pertahan BN, pastikan 'suara' terus didengar
KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) -- Rakyat Sabah perlu terus bersatu mempertahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan 'suara' Sabah lebih lantang dan kuat selain aspirasi rakyat negeri itu didengar kerajaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Sabah mampu menjadi tulang belakang kekuatan kerajaan Persekutuan selain berupaya mewarnai hala tuju masa depan negara.
Beliau berkata rakyat Sabah perlu memilih Barisan Nasional (BN) sebagai landasan tepat serta 'kapal besar' yang stabil dalam membawa pembangunan, memelihara kestabilan politik dan ekonomi selain memastikan kebajikan pelbagai kaum dan agama di Sabah terus dipelihara.
"Kita perlu memilih 'kapal besar' yang betul dan kapal besar itu ialah BN... (parti) yang stabil, berbilang kaum dan agama. Kita bernaung di kapal besar ini... kuatkan suara kita supaya kita mampu untuk mewarnai hala tuju masa depan negara," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-Pemimpin Gereja di sini, hari ini.
Beliau berkata rakyat Sabah perlu terus menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman kerana kedua-dua pemimpin itu telah banyak membawa pembangunan di Sabah demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat negeri ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata kerajaan akan memastikan kepentingan komuniti Kristian di Sabah terus dipelihara kerana komuniti itu banyak memberi sumbangan kepada kestabilan politik dan ekonomi serta pembangunan negara, dan perkara itu tidak boleh dinafikan.
Katanya kebajikan komuniti itu di Sabah juga tidak pernah diabaikan oleh kerajaan kerana perdana menteri adalah seorang yang sentiasa terbuka serta mempunyai pendekatan adil dalam semua aspek.
Abdul Rahman berkata perdana menteri juga telah meluluskan peruntukan bagi rumah-rumah ibadat bukan Islam di Sabah sebanyak RM10 juta menerusi Unit Perancang Ekonomi bagi membiayai keperluan rumah ibadat berkenaan, dan perkara itu juga telah dibincangkan bersama ketua menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman turut menggesa rakyat Sabah supaya terus bersatu mempertahan keunikan dan persefahaman antara kaum dan agama di negeri ini sekali gus menolak anasir luar yang cuba menjejaskan keharmonian yang sememangnya menjadi keistimewaan Sabah.
-- BERNAMA