UPKO bahagian Libaran bantu BN rampas Parlimen Sandakan
SANDAKAN, 18 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran yang baru ditubuhkan akan dijadikan landasan bagi membantu Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Bahagian UPKO Libaran yang diterajui ketua penajanya Dr Peter Jr Naintin merupakan satu-satunya UPKO bahagian yang ada di daerah Sandakan.
Katanya, ini kerana UPKO Bahagian Sandakan yang telah lama ditubuhkan telah digantung seumur hidup atas masalah teknikal.
"Hari ini UPKO mengambil langkah menubuhkan UPKO bahagian baharu di Libaran atas inisiatif seorang pemimpin muda (Dr Peter) untuk mempastikan ahli UPKO di kawasan Parlimen Libaran, Sandakan dan Batu Sapi punya tempat berpaut dan bersama membantu calon BN di tiga kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 akan datang.
"Kedua, kita mahu pastikan supaya kaum Kadazan, Dusun dan Murut di Sandakan punya tempat mereka dan tidak teraba-raba mencari tempat pertubuhan politik untuk bergiat,"katanya ketika merasmikan UPKO Bahagian Libaran di sini, hari ini.
Justeru, beliau, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata adanya bahagian baharu itu diharapkan akan mendapat perkembangan positif UPKO di daerah ini terutama membantu BN.
Menurutnya bahagian itu kini mempunyai 1,000 ahli dan usaha akan terus dibuat untuk menambah ahli dari semasa ke semasa.
Pada PRU13 lalu, kerusi Parlimen Sandakan dimenangi calon DAP, Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh selepas mengalahkan calon BN, Liew Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.
-- BERNAMA