MBM teruja menanti pengumuman Manifesto BN
PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak sabar untuk mendengar intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijadual dibentangkan bulan depan dengan fokus diberikan kepada keperluan golongan muda.
Presiden MBM, Muammar Ghadafi Jamal berkata, sebelum ini bagi menyediakan manifesto berkenaan, BN pernah mendapatkan pelbagai input daripada MBM berhubung isu golongan muda masa kini.
"Antara input MBM yang disumbangkan kepada BN berhubung manifesto tersebut ialah berkaitan pekerjaan, perumahan dan pendidikan bagi golongan orang muda,katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen 'Malaysia Kita' dan perasmian Mesyuarat Dewan Tertinggi MBM, di sini hari ini.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama sebuah badan politik mendekati belia bagi mendapatkan pandangan bagi tujuan penyediaan manifesto.
"Jadi MBM teruja menantikan pengumuman manifesto itu," katanya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, dijangka mengumumkan manifesto tersebut pada 7 April ini.
-- BERNAMA