MIC atur strategi tawan DUN Sabai, pertahan Cameron Highlands




Oleh Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

KUANTAN, 19 Mac (Bernama) -- Kalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai dan kemenangan tipis di Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), sudah cukup untuk mengejutkan MIC Pahang daripada terus berada dalam zon selesa.

Kehilangan kawasan DUN Sabai dengan hanya 117 undi dan 'angka 462' yang menyelamatkan Cameron Highlands daripada jatuh kepada pembangkang, disifatkan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pahang Datuk R Goonasekaran, satu pengajaran yang perit untuk parti itu.

Justeru, katanya, selepas PRU13 lalu, tiada lagi istilah 'bulan madu' untuk MIC sebaliknya parti itu mula mengatur gerak kerja termasuk bekerjasama dengan parti komponen lain untuk mendekati pengundi masyarakat India di negeri ini terutama yang berada di kawasan luar bandar.

"Kita kenal pasti kelemahan dalam jentera dan fahami apa isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India serta berusaha untuk atasinya.

"Hasil gerak kerja yang dilakukan tanpa henti sejak lima tahun lepas, kami yakin MIC dan BN akan mampu memenangi semula Sabai dan mempertahankan Cameron Highlands," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Goonasekaran berkata jentera Wanita MIC di Sabai dan Cameron Highlands giat turun padang untuk memberi penerangan tentang isu-isu tertentu, khususnya propaganda pembangkang memburuk-burukkan kerajaan di media sosial, bagi membolehkan masyarakat India mendapat gambaran sebenar.

Menurutnya langkah itu berjaya menyedarkan rakyat bahawa apa yang disebarkan itu termasuk soal cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1MDB dan kenaikan harga barangan tidak lebih daripada usaha menjatuhkan kerajaan untuk memenangi PRU14.

"Kita hadir berterusan dan bukannya bermusim. Di DUN Sabai sendiri, saya sebagai penyelaras bersama dengan jentera MIC pergi dari rumah ke rumah, ziarah mereka yang sakit, dan bantu selesaikan masalah persekolahan masyarakat India di situ," katanya.

Goonasekaran berkata dalam masa yang sama anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai juga turut turun padang dengan mengambil tahu permasalahan rakyat di kawasan itu tanpa membezakan antara masyarakat Melayu, Cina dan India.

"Ini berbeza dengan wakil rakyat pembangkang yang hanya menampakkan muka secara bermusim dan pengundi di Sabai sendiri telah merasakan apabila mereka mahukan pertolongan, wakil rakyat pembangkang tidak dapat membantu mereka kerana tidak mempunyai kuasa dan keupayaan," katanya.

Menurut statistik Suruhanjaya PIlihan Raya hingga suku ketiga 2017, jumlah pengundi India yang berdaftar di Pahang adalah seramai 37,180 orang iaitu 4.56 peratus daripada jumlah keseluruhan 815,413 orang pengundi berdaftar di negeri ini.

Biarpun jumlahnya tidak sampai lima peratus, Goonasekaran berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India sebaliknya sentiasa berusaha untuk menaik taraf kehidupan mereka supaya mampu setanding dengan kaum lain di negeri ini.

"Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pimpinan negara, landskap masyarakat India di negara ini telah banyak berubah contohnya termasuk langkah mewujudkan pusat khidmat Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di bawah Jawatankuasa Kabinet bagi Masyarakat India.

"Penubuhan pusat sehenti ini bertujuan untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat India seperti soal kewarganegaraan, kebajikan, persekolahan dan isu tanah," katanya

-- BERNAMA