BN Kedah setuju umum calon awal - Ahmad Bashah





ALOR SETAR, 20 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kedah menyokong pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lebih awal bagi membolehkan calon bertanding mempersiapkan diri untuk mewakili parti.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pengumuman lebih awal ini dapat membantu dan memberi ruang kepada calon terutamanya muka-muka baharu untuk memperkenalkan diri di kawasan yang hendak ditandingi.

"Selalunya dua atau tiga hari sebelum PRU baru kita umumkan calon tapi kalau kita umumkan calon lebih awal ini dapat bantu calon-calon baharu untuk buat persiapan tambahan muka baharu ini rakyat tidak kenal nak banding dengan calon lama.

"Kita juga yakin kepimpinan parti telah membuat tapisan terhadap calon yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bagi memastikan calon-calon yang akan mewakili BN bersih daripada sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Kota Setar di Pejabat Daerah Kota Setar, hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di Sydney berkata BN mungkin akan mengumumkan calon PRU lebih awal bagi menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku di sesuatu kawasan selain calon boleh bersedia awal.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah menempelak tindakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang membuat kenyataan mahu memecat penjawat awam yang tidak sehaluan dalam tempoh 30 hari sekiranya Pakatan Harapan memerintah.

"Dia (Mukhriz) tidak sepatutnya cakap begitu kerana penjawat awam ini berdiri atas diri sendiri dan mereka patut dihormati. Mereka diberi kepercayaan dan jalankan tugas yang telah diamanahkan jadi kenapa hendak pecat mereka kalau tidak sehaluan.

"Belum memerintah lagi sudah pasang hasrat macam itu.. Nanti kalau sudah memerintah macam mana pula jadinya" katanya.

--BERNAMA