BR1M: Warga Emas Di Putatan Amat Berterima Kasih Kepada Kerajaan




KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Warga emas yang mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Putatan dekat sini hari ini, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan mereka apabila menerima bantuan itu daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Bercakap kepada Bernama, Taip Jaafar berkata dia amat berterima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi bantuan kepada golongan warga emas.

Lelaki berusia 85 tahun itu adalah antara 2,600 penerima BR1M di kawasan berkenaan.

"Saya sungguh gembira dan berterima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan nasib kami, terutama bagi orang tua seperti saya ini. Saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan.

"Apa yang dapat saya nyatakan ialah saya amat gembira apabila mendapat bantuan wang tunai ini daripada kerajaan kerana ia amat bermakna bagi saya," katanya.

Sementara itu, Mary Chin Ka Phin, 83, dari Petagas pula berkata, walaupun BR1M mungkin dianggap kecil jumlahnya bagi sesetengah orang, tetapi bantuan wang tunai itu amat bermakna baginya kerana dia boleh mengunakannya untuk membeli barang keperluan harian.

Menurut wanita warga emas berkenaan, ini bukan kali pertama dia menerima bantuan seperti itu daripada kerajaan.

"Saya amat menghargai usaha dan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat. Kerajaan tidak pernah mengabaikan rakyat seperti saya ini," katanya.

Chan Chui, 40, dari Kepayan Ridge pula berkata baucar BR1M itu akan membantu meringankan beban kewangan yang ditanggungnya dan oleh kerana itu, dia sangat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya.

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Yahya, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas, berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah gagal dalam membantu rakyat.

Katanya, BR1M menjadi bukti kukuh tentang komitmen kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban mereka.

-- BERNAMA