Raub mampu jadi lebih maju di bawah BN





RAUB, 21 Mac (Bernama) -- Raub bakal menjadi destinasi agro ecotourism yang terkenal di negara ini apabila projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong siap sepenuhnya pada 2019.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lebuh raya bernilai RM578 juta itu ia akan memudahkan lagi pemasaran hasil tani dari daerah ini termasuk durian Musang King, satu produk pertanian utama daerah Raub.

"Pelancongan di Raub akan lebih berjaya dengan adanya sistem lalu lintas yang lebih baik dengan adanya CSR dan saya yakin ini akan membantu memperluaskan lagi hasil pertanian dari daerah ini.

"Melalui jaringan ini, tempias pembangunan yang dikecapi oleh Bentong pada masa sekarang juga bakal dinikmati oleh Raub dan dua lagi daerah di Pahang Barat iaitu Lipis dan Jerantut, kerana setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 'Discover Raub' di Rumah Berhala Cina, di sini hari ini. Turut hadir Naib Presiden MCA Datin Chew Mei Fun.

Sementara itu, Liow yang juga Presiden MCA melahirkan keyakinan Barisan Nasional, mampu merampas semula kerusi Parlimen Raub yang sebelum ini dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"MCA telah bergerak aktif mendekati pengundi di kawasan ini dengan kerjasama parti komponen lain untuk merampas Parlimen Raub daripada DAP. Persiapan untuk menghadapi PRU kini telah dilakukan di peringkat pusat daerah mengundi (PDM).

"Parti juga telah mengadakan pelbagai program untuk bertemu rakyat terutama golongan muda dan setakat ini maklum balas yang diterima amat positif. Kita yakin pengundi Cina di Parlimen Raub telah kembali ke MCA.

"Pengundi juga telah sedar bahawa wakil rakyat pembangkang di kawasan ini tidak dapat melakukan apa-apa pembangunan di kawasan ini dan hanya tahu untuk memecahbelahkan rakyat," katanya.

-- BERNAMA