800 anggota APM Terengganu bantu persiapan hadapi PRU14

Gambar fail
KUALA NERUS, 23 Mac (Bernama) -- Seramai 800 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu bakal ditempatkan di seluruh negeri ini bagi membantu melancarkan perjalanan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.
Pengarahnya Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman berkata APM akan menempatkan 100 anggota di setiap Parlimen bagi melicinkan gerak kerja PRU14, terutama ketika hari penamaan calon dan pembuangan undi.
"Kita akan terlebih dahulu mengenal pasti kawasan yang dikategorikan 'hotspot' dan di sinilah anggota ini akan bertugas memantau persekitaran dari bermulanya penamaan calon hinggalah ke proses pembuangan undi.
"Seramai 42 pegawai tetap APM Terengganu juga dibekukan cuti bermula April hingga tarikh akhir yang bakal diumumkan kerajaan untuk persediaan menghadapi PRU14. Untuk anggota biasa, pembekuan cuti belum lagi dilaksanakan," katanya selepas Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya APM Sempena Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-66 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 3,680 ketua isi rumah yang terlibat dalam bencana banjir pada akhir tahun 2017 hingga awal Januari 2018 bakal menerima wang ehsan yang mula diagihkan secara berperingkat sejak 20 Mac lalu.
"Kita sudah mula agihkan wang ehsan ini kepada ketua keluarga di lima tempat yang terlibat dengan banjir setakat ini iaitu di Kampung Pasir Raja dan Sebarang Pintasan, (Dungun), Besut, Setiu dan Marang. Insha-Allah pengagihan akan selesai pada awal April ini," katanya.
Che Adam berkata Kerajaan Pusat memperuntukkan RM1.8 juta kepada mangsa banjir ini yang mana setiap ketua rumah akan mendapat RM500 tetapi di Terengganu kerajaan negeri menambah RM1.8 juta menjadikan setiap ketua isi rumah menerima RM1,000.
"Tidak semua negeri mendapat bantuan sebanyak Terengganu, jadi rakyat Terengganu amat beruntung," katanya.
Selain itu juga, Skuad Sukarelawan Parlimen yang menggabungkan anggota APM bersama golongan belia seramai 50 anggota telah dilancarkan di empat Parlimen sebagai persediaan menghadapi situasi bencana terutama banjir.
"Pelancaran dimulakan dengan Parlimen Hulu Terengganu seterusnya Besut, Marang dan Dungun. Esok skuad ini akan dilancarkan di Kuala Nerus dan seterusnya Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu," katanya.
-- BERNAMA