Polis Labuan sedia hadapi pilihan raya
LABUAN, 24 Mac (Bernama) -- Anggota polis di pulau bebas cukai ini bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dan akan memastikan pilihan raya nanti berlangsung dengan aman.
Ketua polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata simulasi pilihan raya telah dijalankan bagi memastikan anggota polis di sini benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Oleh kerana peranan polis sangat penting, kita telah membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya. Kita telah mengambil langkah bagi memastikan sifar jenayah pada pilihan raya akan datang.
"Justeru kami merayu orang ramai termasuk anggota parti politik di sini supaya mengekalkan keamanan dan menghormati perbezaan pendapat pihak lawan," katanya kepada wartawan di sini
Farid juga berkata pihak media juga mempunyai peranan dalam memastikan pilihan raya berlangsung dengan aman dan selamat.
"Hakikatnya, pihak media memainkan peranan penting dalam memberitahu serta mendidik masyarakat, sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Menyebarluaskan maklumat merupakan kunci ke arah proses pilihan raya yang aman," kata beliau.
"Tidak dapat dielakkan, polis dan pihak media perlu bekerjasama rapat dalam perkara ini. Hubungan antara polis dan media adalah 'umpama aur dengan tebing' di mana kita memerlukan antara satu sama lain.
Beliau berkata pihak polis merupakan sumber maklumat penting terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan negara yang mana maklumat berkenaan mungkin menarik perhatian media namum pihak polis juga mempunyai tanggungjawab memaklumkan masyarakat dengan memikirkan soal keselamatan negara.
Farid berkata media mempunyai tanggungjawab melapor secara objektif dan tepat serta elak melaporkan berita sensasi yang menimbulkan keadaan cemas semasa dan selepas pilihan raya
"Kami berharap pihak media dapat membantu polis menyebarkan maklumat ketika kami menjalankan kempen kesedaran terhadap jenayah politik, ucapan kebencian serta menjaja maklumat palsu," katanya.
-- BERNAMA