BN mampu menang semua kerusi di Parlimen Beaufort

BEAUFORT, 24 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) diyakini mampu mengekalkan kerusi Parlimen Beaufort dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, kata Pengerusi BN Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.
Isnin yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata berdasarkan pencapaian terbaik BN di Parlimen berkenaan, pihaknya juga yakin dapat merampas kerusi DUN Klias yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lepas.
"Kita sudah bersiap siaga untuk berdepan dengan PRU14...kita telah bergerak dan bekerja di kesemua Pusat Daerah Mengundi dan cawangan di seluruh kerusi Parlimen ini.
"Kita juga mengenal pasti kelemahan sebelum ini untuk merampas DUN Klias," katanya kepada pemberita selepas menyertai Program 'Maju Bersama Negaraku' untuk membaik pulih Gereja Katolik St Zeno Kampung Batu 58 di sini, hari ini.
Pada pilihan raya lepas, Isnin yang juga calon BN DUN Klias tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Lajim Ukin dengan majoriti tipis 179 undi. Isnin memperoleh 6,145 undi manakala Lajim meraih 6,324 undi.
Bagaimanapun, Lajim meninggalkan PKR pada Oktober tahun lepas dan menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah dengan menyandang jawatan presiden parti itu.
Ditanya mengenai calon bagi kerusi itu, Isnin berkata beliau menyokong siapa sahaja yang dipilih BN untuk bertanding.
"...siapa sahaja boleh jadi calon dan terpulang kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman untuk memilih kerana mereka lebih tahu siapa yang layak dan boleh berkerja untuk rakyat.
"Kita tidak akan membantah apa sahaja keputusan yang dibuat (pemilihan calon). Kita akan beri sokongan tanpa berbelah bagi untuk mencapai kemanangan," tambahnya.
-- BERNAMA