PRU14: Sultan Johor ingatkan parti politik tidak sentuh isu sensitif

SERDANG, 24 Mac (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan parti politik agar tidak menyentuh isu-isu sensitif atau menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Baginda bertitah semua pihak mesti bertangungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan dan kesejahteraan negara terus dikekalkan.
"Sekiranya berlaku perkara yg tidak diingini, sudah pasti semua rakyat akan mendapat susah dan seterusnya negara akan musnah," titah baginda semasa berangkat merasmikan Jambori Minggu Permotoran Malaysia (MBW) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Sultan Ibrahim dalam titahnya turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa bersatu padu dan tidak berpecah belah hanya kerana perbezaan pendapat atau berbeza fahaman politik sebaliknya lebih memberi fokus kepada titik persamaan.
Baginda bertitah pihak yang sering membawa masalah adalah golongan yang menggunakan isu perbezaan kaum dan agama untuk menghasut rakyat membenci antara satu sama lain.
"Dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama, sikap hormat menghormati serta bertolak ansur antara satu sama lain wajib diamalkan oleh semua," titah baginda.
Titah Sultan Ibrahim, baginda memperkenalkan semula gelaran 'Bangsa Johor' adalah sebagai asas penyatuan kepada rakyat yang lahir atau tinggal di negeri itu bagi mewujudkan persamaan supaya mereka berasa selesa serta dapat berkongsi hidup dengan aman dan damai.
"Orang negeri lain ada persamaan yang menyatukan mereka, namun apabila bercakap pada peringkat nasional, kita semua tetap bersatu bawah satu negara yang sama sebagai rakyat Malaysia," titah baginda.
-- BERNAMA