NTP: rakyat diminta nilai pencapaian dibawa kerajaan

KUBANG PASU, 24 Mac (Bernama) -- Rakyat diminta menilai pencapaian kerajaan yang dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi dialog sempena pelancaran Laporan Tahunan Program Tranformasi Negara (NTP) semalam, sebelum membuat sebarang tanggapan negatif terhadap kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata apa yang dijelaskan perdana menteri bukan ?cakap-cakap kosong' tetapi penuh fakta di mana rakyat dapat melihat sendiri pembangunan yang dibawa beliau berbanding 10 tahun lepas.
"Kita patut rasa terpegun dengan kejayaan Malaysia. Walaupun pada 2015-2016 semasa kegawatan ekonomi luar akibat kesan penurunan harga minyak, kerajaan masih mampu memberanikan diri untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira segmen masyarakat," katanya kepada pemberita pada program Komuniti Agrobank di Taman Arowana, Ayer Hitam dekat Jerlun di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Othman berkata kadar hutang negara pada paras 50.8 peratus membuktikan pengurusan ekonomi negara yang dibawa Najib berada di landasan yang betul dan rakyat tidak perlu bimbang dengan tohmahan kononya negara di ambang kebangkrapan.
"Walaupun perjalanannya bukan mudah untuk dicapai tetapi kerajaan berkemampuan merancang masa depan negara yang lebih baik jika terus mendapat mandat dan sokongan daripada keseluruhan rakyat kelak," katanya.
Sementara itu, Othman yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata kerajaan sentiasa di hadapan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan rakyat bawahan dan tidak tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata.
"Contohnya, di Kedah ramai pesawah dan saya selaku Pengerusi Lembaga Pengairan Muda (MADA) menyasarkan kira-kira RM48,000 pendapatan terkumpul tahunan dan RM4,800 sebulan, namun ia tidak akan dicapai jika hanya tertumpu kepada padi.
Sebab itu kerajaan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan keusahawanan berasaskan pertanian untuk membolehkan mereka mencapai sasaran itu dan kerajaan akan bantu menyediakan pembiayaan,"katanya.
-- BERNAMA