Keluhan rakyat diambil kira, BN cari penyelesaian sesuai
SEMPORNA, 24 Mac (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kira setiap keluhan rakyat dan mencari penyelesaian sesuai dalam memenuhi setiap keperluan rakyat khususnya di negeri ini, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban.
Beliau berkata menjadi komitmen kerajaan melihat kepada setiap keperluan rakyat termasuk berhubung prasarana pendidikan kerana aspek itu penting dan mampu melonjakkan pencapaian kemenjadian pelajar sekolah sekali gus mensifarkan kemiskinan rakyat di negeri ini.
"Buktinya, baru-baru ini kerajaan memilih sekolah daif di Sabah termasuk sembilan di Semporna untuk dibaik pulih menerusi peruntukan pendidikan RM1 bilion dalam Bajet 2018 dan perkara itu akan dilaksana secara berfasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan bantuan kerusi bernilai RM100,000 kepada 53 sekolah di kawasan Parlimen Semporna, hari ini.
Ramlee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya, berkata tiada rintihan rakyat yang dipinggirkan, malah pemimpin setempat termasuk wakil rakyat terlibat sama menyalurkan bantuan.
"Kerajaan negeri memberi sumbangan bot untuk kegunaan warga pendidik di daerah ini berulang alik dari pekan Semporna ke sekolah di pulau-pulau.
"Kerajaan berikan bantuan persekolahan awal RM100, selain menyediakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk pelajar kurang berkemampuan," katanya bahawa wakil rakyat turut berperanan menyumbang kepada kejayaan pendidikan anak bangsa.
Sementara itu, beliau berkata wakil rakyat perlu mengambil tahu mengenai pembangunan pendidikan di kawasan masing-masing, agar selari dengan usaha kerajaan untuk melestarikan pendidikan dan melahirkan modal insan berjaya.
-- BERNAMA