PRU 14: Polis Terengganu kenalpasti lokasi panas

KUALA TERENGGANU, 25 Mac (Bernama) -- Polis Kontinjen Terengganu telah mengenalpasti beberapa lokasi panas dan individu yang berpotensi menimbulkan kekacauan sepanjang pilihan raya umum ke 14 (PRU 14) tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah berkata pihaknya telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memastikan proses perjalanan PRU 14 bermula daripada pembubaran Parlimen, kempen dan di hari pengundian berjalan lancar.
"Setakat ini pun, polis hanya menerima empat kes berkaitan vandalisme berkaitan bendera parti yang dilakukan budak-budak nakal di Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Dungun.
"Ia bukanlah disebabkan politik kepartian yang disuruh oleh pihak-pihak tertentu....oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana Polis Kontinjen Terengganu memberi jaminan pilihan raya umum akan berlangsung dengan selamat," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Polis ke 211 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan memperincikan jumlah sebenar lokasi panas yang telah dikenalpasti pada PRU 14 nanti kerana ia bergantung pada situasi dan isu-isu semasa di sesuatu lokasi tersebut.
Selain itu, Idris turut menasihatkan semua parti politik supaya mengikut prosedur permohonan yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012 sebelum membuat ceramah pada PRU 14 tidak lama lagi.
"Ikutlah peraturan seperti memohon 10 hari sebelum ceramah diadakan...jangan memohon dalam tempoh masa yang singkat kerana banyak aspek perlu diteliti seperti kesesuaian lokasi dan keselesaan penduduk setempat.
"Begitu juga dengan pemasangan bendera parti, elakkan memasangnya di tempat yang tidak sesuai, merbahaya atau di kawasan yang boleh menghalang pemandangan pengguna jalan raya.
"Semua parti politik perlu mematuhi peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kaedah pemasangan bendera yang sesuai," katanya.
-- BERNAMA