Polis Kerian siap siaga hadapi PRU14




BAGAN SERAI, 25 Mac (Bernama) -- Polis Kerian telah bersiap siaga dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaakob berkata pegawai dan anggotanya kini sudah 99 peratus bersiap siaga dan sudah mengadakan tiga simulasi membabitkan semua anggota sebagai persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.

"Cuti anggota (polis) ke luar negara telah dibekukan dan mana-mana anggota yang bercuti dalam negeri juga akan dipanggil apabila khidmat mereka diperlukan semasa pilihan raya," katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata pihaknya akan menugaskan anggota di dua kawasan Parlimen iaitu Bagan Serai dan Parit Buntar pada PRU14 apabila Parlimen dibubarkan nanti.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh pengamal media antaranya Ani Awang (Bernama), Khairul Anwar Mohd Amin (Sinar Harian), Saiful Shahrin Ahmad Pauzi (Metro/Berita Harian), Lee Huat Lian (Sin Chew Daily) dan K. Murugaiyan (Makkal Osai).

-- BERNAMA