Kad laporan prestasi lima tahun Kerajaan BN Johor dibentang

BATU PAHAT, 25 Mac (Bernama) -- Pembentangan prestasi kerajaan Barisan Nasional (BN) selama lima tahun hari ini diharapkan dapat mengekang kemaraan pembangkang sekali gus mengurangkan 'modal politik' pembangkang yang berhasrat mahu menawan negeri ini pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kad Laporan Pencapaian Kerajaan Johor 2013-2018 itu adalah berasaskan manifesto kerajaan BN pada pilihan raya umum yang lepas dan menunjukkan prestasi kerajaan negeri yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat di Johor khususnya.
"Kami nak pastikan dengan adanya kad laporan ini, pembangkang akan makin hilang modal politik nak serang kami di Johor dan sebagainya.
"Kami bentangkan pada masyarakat fakta dan hakikat tentang apa yang sedang dibuat dan sedang dilakukan dan kami tak janjikan benda yang mungkin sedap didengar tetapi sebenarnya tidak boleh dilaksanakan," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran kad laporan berkenaan di Universiti Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Bertemakan 'Membangun Dekad Baharu Johor', kad laporan berkenaan memaparkan prestasi cemerlang kerajaan BN Johor hampir lima tahun yang merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, perumahan dan pemilikan tanah, infrastruktur awam, membasmi kemiskinan, keselamatan dan kehidupan lestari.
Mohamed Khaled, yang juga Menteri Besar Johor itu berkata jentera wanita akan terus memainkan peranan penting untuk menyebarkan pencapaian cemerlang itu kepada masyarakat terutamanya akar umbi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jentera wanita akan terus menjadi tulang belakang BN sekali gus menyumbang kepada kejayaan untuk menang besar dalam pilihan raya akan datang.
"Kami yakin dengan sokongan (jentera dan masyarakat) sekali gus (akan memastikan) kejayaan BN di Johor khususnya dalam pilihan raya akan datang," kata Mohamed Khaled.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Pakatan Harapan yang 'menasihati' Menteri Besar supaya mencari kerusi yang selamat pada PRU14, Mohamed Khaled berkata kenyataan berkenaan sekadar mahu menunjukkan parti pembangkang adalah gah dan tidak mahu sokongan masyarakat terhadap mereka (pembangkang) lari.
"Saya sebagai orang lama tak takut dengan cakap-cakap tu, anggap jelah (mereka) tu bising-bising sebab nak dapat perhatian. Tak perlu saya menari ikut rentak dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin)," kata beliau.
Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin 'menasihati' Mohamed Khaled, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permas, supaya mencari 'kerusi selamat' agar tidak kalah dalam PRU14.
Terdahulu, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, turut melancarkan Himpunan Muafakat Jentera Wanita BN negeri yang turut dihadiri Ketua Wanita BN dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan barisan kepimpinan wanita parti-parti komponen.
-- BERNAMA