Polis Negeri Sembilan siap sedia hadapi PRU14





SEREMBAN, 25 Mac (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan sentiasa bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata seramai 3,400 anggota polis akan ditugaskan pada PRU14 di seluruh negeri ini.

"Kita telah bersiap sedia pada tahap 100 peratus dan hanya menunggu gendang (pilihan raya) sahaja...dari segi penugasan kita telah bersedia dan dalam mesyuarat yang dijalankan (sebelum ini) tidak nampak sebarang masalah," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Polis Ke-211 Kontinjen Negeri Sembilan di Dataran Kawad Sekolah Latihan Polis, di sini.

Muhamad Zaki berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada Selasa depan untuk meninjau secara dekat persiapan PRU14.

-- BERNAMA