Biro IT, Media Sosial UMNO perlu sebarkan lagi maklumat positif
KOTA BHARU, 25 Mac (Bernama) -- Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO diminta meningkatkan penyaluran dan penyebaran maklumat positif mengenai kerajaan Persekutuan kepada rakyat.
Pengerusi biro itu Datuk Ahmad Maslan berkata ia bagi menyangkal pelbagai berita palsu dan dakyah yang tersebar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Sehubungan itu, beliau meminta Biro IT dan Media Sosial UMNO di semua 191 bahagian supaya mempromosikan perkara-perkara positif yang ada terutama projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan di negeri masing-masing.
"Selain itu, Biro IT dan Media Sosial juga perlu mempromosikan calon-calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU14," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Ahmad berkata terdapat 40 anggota UMNO di setiap bahagian yang ditugaskan dalam biro berkenaan yang merangkumi 10 anggota Jawatankuasa Biro IT dan Media Sosial bahagian dan masing-masing 10 daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian.
-- BERNAMA