Rakyat Terengganu diingatkan jangan terpengaruh janji manis PAS




Gambar fail

BESUT, 25 Mac (Bernama) -- Rakyat Terengganu diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan janji PAS yang kononya akan memberi satu lot tapak rumah atau satu unit rumah kediaman sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata PAS membuat janji tersebut bersama 14 tawaran lain yang semata-mata untuk menambat hati rakyat Terengganu walhal PAS sedar apa yang ditawarkan menerusi manisfesto PRU14 tidak akan mampu dilaksanakan.

"Jangan terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan PAS...jika tindakan tanpa berfikir panjang, rakyat akan hidup dalam kekecewaan seperti sebelum ini.

"Kerajaan negeri mempunyai cara tersendiri untuk menunaikan setiap janji dalam manifesto termasuk menyediakan tanah atau rumah kediaman kepada rakyat seperti yang dilakukan melalui pemberian Rumah Komuniti di Besut sejak setahun lalu," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan rumah komuniti kepada beberapa individu yang kurang bernasib baik di sini hari ini.

Muhammad Pehimi berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, janji akan hanya dibuat berdasarkan kemampuan dan pemberian rumah atau tanah lot kediaman hanya diberikan kepada mereka yang memenuhi syarat dan bukan dibuat sewenang-wenangnya kepada semua rakyat.

Selain rumah komuniti yang diserah secara percuma di Kampung Pulau Berangan, ADUN Jertih itu turut menyampaikan kunci rumah di Kampung Kuala Kenak, Kampung Gerai, Kampung Gong Badang dan Kampung Kejing di Seberang Jertih kepada penerima.

Dalam perkembangan lain, beliau menyangkal tuduhan PAS yang mengatakan 'Jertih Souq' terbengkalai setelah 10 tahun pembinaannya dan menganggapnya sebagai pembohongan besar berrtujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Katanya, Jertih Souq yang dahulunya dikenali sebagai Pasar Besar Jertih yang mula dibina sejak 2007 dengan kos RM70 juta telah siap dibina dan sudahpun digunapakai untuk beniaga kecuali pembinaan Terminal Bas yang masih ditangguh bagi pengubahsuaian.

Menurutnya, sebuah stesen bas sementara telah pun dibina berdekatan Jertih Souq bagi memastikan sistem pengangkutan bas ekspres berjalan lancar.

-- BERNAMA