PRU14: BN Labuan sasar peningkatan 20 peratus undi majoriti





LABUAN, 26 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Labuan menyasarkan peningkatan 20 peratus undi majoriti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berbanding 6, 629 undi majoriti dicatatkan pada PRU13.

Pengerusi BN Labuan Datuk Rozman Isli berkata sasaran itu mampu dicapai dengan kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN pulau bebas cukai itu.

Semua parti komponen BN telah berikrar untuk bekerja keras termasuk bagi memastikan pemilih keluar mengundi pada PRU14 nanti bagi membolehkan BN menang besar, katanya kepada Bernama hari ini.

Rozman yang juga anggota Parlimen Labuan berkata parti komponen BN Labuan juga telah mengadakan simulasi PRU14 baru-baru ini membabitkan wakil dari 17 pusat daerah mengundi (PDM).

Pada PRU13, Rozman menang dalam saingan tiga penjuru dengan mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

-- BERNAMA