PRU14: Gerakan muktamadkan senarai calon
Datuk Seri Mah Siew Keong (Gambar fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Gerakan sudah memuktamadkan senarai calonnya bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti dalam mesyuarat di ibu pejabat Gerakan hari ini telah membuat penilaian teliti dan membincangkan pencalonan para penyelaras parti.
Beliau berkata CWC sebulat suara memutuskan untuk membuat sedikit perubahan pada senarai penyelaras parti selepas menimbangkan pandangan, maklum balas dan cadangan anggota parti di semua peringkat.
"Kami percaya perubahan yang dibuat itu perlu bagi mencerminkan perkembangan terkini politik, sentimen daripada akar umbi dan penilaian.
"Perubahan itu akan meletakkan parti di kedudukan lebih baik untuk mencapai sasaran kami dalam memperbaiki keputusan undi pada PRU14, dan ia akan perbaharui dan perkukuhkan lagi perpaduan dan kerjasama di dalam dan luar parti.
"Apa yang lebih penting, faktor boleh menang dan populariti para penyelaras diambil kira dan perubahan dibuat untuk memastikan barisan hadapan kami disokong oleh semua anggota parti, rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan paling penting oleh penduduk setempat di kawasan masing-masing,? kata Mah dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata senarai penyelaras yang telah dimuktamadkan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN.
"Parti kekal optimis dan yakin dengan persediaan jentera pilihan raya dan kami di landasan untuk mencapai kejayaan besar pada PRU14.
"Saya menggesa semua anggota parti untuk menyokong keputusan parti dengan berkongsi semangat perpaduan dan misi dalam memastikan parti mencapai prestasi lebih baik dalam PRU14," katanya.
-- BERNAMA