PRU14: Subramaniam masih rahsiakan senarai calon daripada MIC




Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Gambar fail Bernama)

Oleh S. Chandravathani

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam masih merahsiakan nama anggota parti itu yang dicadangkan menjadi calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau berkata MIC sudah mengenal pasti bakal calonnya dan kini dalam proses mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) tentang kerusi yang akan terus ditandingi parti itu atau untuk dibuat pertukaran dengan parti komponen lain.

"Saya sudah mengenal pasti bakal calon bagi hampir kesemua kerusi. Mungkin berlaku perubahan pada saat-saat akhir seperti yang pernah terjadi sebelum ini," kata Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, berikutan urusan penyempadanan semula kawasan pilihan raya yang sedang dilakukan, senarai calon bagi Selangor dan Perak belum siap ketika ini.

Menurut laporan, MIC menghadapi masalah untuk memuktamadkan senarai calonnya dan terdapat kemungkinan berlaku beberapa perubahan, walaupun senarai calon bagi PRU14 sudah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN.

"Keutamaan akan diberi kepada pemimpin parti yang didapati popular di kawasan masing-masing. Kali ini, saya juga cuba memilih seorang calon daripada kumpulan bekas presiden Datuk Seri G.Palanivel," katanya.

Dr Subramaniam berkata antara 50 dan 60 peratus calon MIC yang akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN terdiri daripada muka baharu dan beliau berharap keputusan parti itu memilih calon yang ?mampu menang, disukai dan berwibawa? akan menjadi resipi kemenangan bagi MIC dan BN.

MIC juga bekerja keras di Teluk Kemang dan Sungai Siput bagi merampas kembali dua kerusi parlimen itu, yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, kata beliau.

Dr Subramaniam berkata penetapan minda pengundi dan media sosial akan menjadi antara cabaran besar yang dihadapi calon MIC pada PRU14 dan mereka yang terpilih menjadi calon pula mestilah memiliki kemampuan serta berfikir di luar kebiasaan untuk menanganinya.

"Dulu, tidak ada isu dan kami boleh letakkan sesiapa saja sebagai calon BN di mana sahaja. Orang menyokong mereka kerana mereka adalah calon BN. Kini, keadaan sudah berubah dan banyak bergantung pada sama ada seseorang calon itu diterima di sesuatu tempat, terutama di kawasan bandar," katanya.

Dr Subramaniam juga menasihati masyarakat India agar tidak terpengaruh dan terpedaya oleh janji kosong pembangkang kerana mereka begitu ketara tidak mempunyai agenda pembangunan untuk memperbaiki nasib masyarakat itu.

"Dalam BN, kami sediakan program dan rangka tindakan yang sebenar-benarnya. Tahun lepas, pada 23 April, perdana menteri melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) bagi tempoh 10 tahun untuk membantu masyarakat India di negara ini, termasuk meningkatkan pendapatan dan tahap pendidikan, membuka peluang perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor awam untuk mereka," katanya.

Mengulas tentang manifesto pembangkang bagi masyarakat India, beliau berkata MIB merupakan dokumen kerajaan yang lebih jelas serta terperinci serta mendapat kelulusan Kabinet untuk dilaksanakan.

"Kami beri komitmen kami melalui MIB. Kami telah laksanakan begitu banyak pembangunan dan menyaksikan hasilnya. Ada banyak lagi program untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat India. Kerajaan BN ini akan melaksanakan apa yang mereka janjikan seperti yang dapat dilihat daripada rekod kejayaan kami," katanya.

Antara perkara utama dalam MIB ialah melipatgandakan pendapatan keluarga miskin daripada masyarakat India, peruntukan tujuh peratus tempat di institusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam bagi kaum India menjelang 2026 serta mewujudkan pekerjaan untuk anggota masyarakat itu.

-- BERNAMA