TPM mahu BN Negeri Sembilan rampas Repah, pertahan Tampin




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tampin di Dataran Kampung Tengah, Gemenceh hari ini.

TAMPIN, 27 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berusaha gigih memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah yang kini dikuasai DAP pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Parlimen Tampin dan dua DUN di bawahnya iaitu Gemas dan Gemencheh perlu dipertahankan.

"Repah ini adalah kerusi tradisi MCA dan saya minta orang MCA dan NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) Cina bersama-sama menyokong BN dan merampas kembali kerusi itu."

"Kita perlu rampas kembali Repah dan mengekalkan Gemas dan Gemencheh," katanya dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tampin di Dataran Kampung Tengah di sini, hari ini.

Turut hadir anggota Parlimen Tampin Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, Pengerusi BN Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, ADUN Gemencheh Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan ADUN Gemas Abd Razak Ab Said.

Pada PRU13, Parlimen Tampin dan dua DUN iaitu Gemencheh dan Gemas dikuasai BN manakala Repah oleh DAP.

Dalam pertandingan tiga penjuru bagi DUN Repah, calon BN Yap Seong Fook dan Fadzil A Bakar (Bebas) tewas dengan majoriti 1,944 kepada S.Veerapan daripada DAP.

Sementara itu, Shaziman dalam ucapannya yakin kerusi Parlimen Tampin yang disandangnya kini serta dua DUN dapat dipertahankan serta memenangi semula DUN Repah.

"Saya yakin dan percaya, Insya-Allah, Parlimen dan dua kerusi DUN akan kita pertahan dan rampas kembali Repah untuk Barisan Nasional," katanya.

-- BERNAMA