Usul laporan persempadanan semula SPR tidak subjudis, akan dibentang esok - speaker




KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Usul Laporan Persempadanan Semula Kawasan-Kawasan Pilihan Raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap akan dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijadualkan esok (Rabu) meskipun ada tindakan mencabarnya di mahkamah oleh kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tidak melihat pembentangan dan pembahasan usul itu sebagai subjudis terhadap tindakan pembangkang yang telah mengemukakan bantahan di mahkamah terhadap langkah persempadanan semula oleh SPR itu.

"Kan ini demokrasi. You agree to disagree. Masing-masing ada pendapat. Itu pendapat orang lain, pendapat saya lain. Pendapat saya itu (yang) kata subjudis itu kadang-kadang boleh diguna pakai untuk kes tertentu."

"Kalau subjudis itu terpakai pada kes seperti ini, bermakna Dewan Rakyat tak boleh buat apa-apa pun. Jadi bagi saya, pemisahan kuasa itu adalah, biar Parlimen buat kerja, mahkamah buat kerja, eksekutif buat kerja masing-masing," katanya kepada wartawan selepas menghadiri Jamuan Hari Komanwel di Bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum ini, beberapa anggota Parlimen telah menggesa Pandikar Amin supaya menunda pembahasan laporan itu sehingga semua notis bantahan berhubung perkara itu di mahkamah telah diselesaikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membentangkan usul itu di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab tamat pada pukul 11.30 pagi, esok.

Usul itu hanya memerlukan sokongan majoriti mudah daripada 112 anggota Parlimen iaitu lebih separuh daripada 222 anggota Parlimen, selepas dibahaskan.

Ia kemudian akan dibawa untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan dan digunakan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Dalam perkembangan lain, Pandikar Amin menyifatkan tiga anggota Parlimen DAP yang digantung daripada persidangan Dewan Rakyat sejak Isnin sebagai tidak beretika kerana masih berkeras mencabar keputusan itu di luar Dewan.

Katanya, ketiga-tiga mereka iaitu Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP-Batu Gajah) tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mereka telahpun diberi peluang untuk memohon maaf sebelum keputusan itu dijatuhkan.

Pandikar Amin berkata mereka telah melakukan perbuatan menghina Parlimen.

"Mereka sengaja buat begitu, membelakangkan etika sebagai Yang Berhormat kerana mereka mengutamakan agenda politik masing-masing."

"Kerana bila masyarakat umum baca, dia punya penyokong akan kata, oh saya punya wakil rakyat berani. Dia nak menang pilihan raya sahaja," katanya.

Ketiga-tiga anggota Parlimen itu telah digantung selama 10 hari kerana menghina Pandikar Amin dan Parlimen dengan mengaitkan beliau cuba bersekutu untuk menutup skandal rasuah berhubung isu kapal layar mewah.

The Equanimity yang disita penguatkuasa Indonesia baru-baru ini.

-- BERNAMA