Lim Kit Siang tidak beretika, angkuh hadir sidang dewan setelah digantung




KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Tindakan anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang tetap hadir menyertai persidangan Dewan Rakyat hari ini walaupun telah digantung selama enam bulan mulai semalam, dilihat sebagai tidak beretika.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Lim seolah-olah mahu menunjukkan bahawa pembangkang mempunyai 'lesen besar' untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka.

"Sudah pun saya beri arahan kelmarin, tapi kalau dia faham peraturan dan YB yang beretika dia patut malulah sikit."

"MP pembangkang ini degil kerana bagi saya apabila dah diarahkan tak boleh turut serta, tapi mereka ini pembangkang ada 'lesen besar'. Apa pun mereka boleh buat, tidak apa kalau tidak ikut arahan speaker, semua orang salah, mereka sahaja betul," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku 'Mahdzir Khalid: Semua Kita Serupa" di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sementara selama 30 minit apabila Lim mengingkari arahan Pandikar untuk keluar daripada dewan selepas digantung daripada Parlimen.

Ia berikutan Lim mencabar keputusan Pandikar Amin membenarkan usul Kajian Semula Persempadanan Kawasan Pilihan Raya dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diteruskan.

Usul penggantungan Lim dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas Lim, Pandikar Amin berkata: "Dia hadir, sebab itu saya kata kalau saya angkat dia pakai polis, kan jelik. Tidak apa kalau dia enggan biar dia di sana."

Sementara itu, Menteri Pendidikan yang juga anggota Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan Lim menunjukkan bahawa pemimpin pembangkang itu angkuh dan tidak boleh bertolak ansur.

Katanya pemimpin seperti ini perlu ditolak kerana apabila berkuasa, beliau tidak akan bertoleransi dengan pelbagai perkara.

"Dia dah tunjuk kedegilan, tidak mahu bertolak ansur, kalaulah orang macam ini nak jadi pemimpin negara, bayangkanlah kalau tiada toleransi dalam negara pelbagai kaum, kalau jadi kerajaan, saya tak fikir dia akan bertolak ansur dengan semua benda," katanya.

-- BERNAMA