Johor terima baik perubahan nama kawasan dalam kajian semula persempadanan




JOHOR BAHRU, 29 Mac (Bernama) -- Johor menyambut baik kajian semula persempadanan dan pindaan nama kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kajian semula persempadanan dan pindaan nama berkenaan tidak menjejaskan Barisan Nasional (BN) negeri ini kerana ia hanya melibatkan beberapa kawasan seperti Gelang Patah dan Tanjung Puteri.

"Ada sesetengah nama itu kita setuju, misalnya, Gelang Patah (dipinda) kepada Iskandar Puteri. Kita di Johor tidak begitu banyak terlibat dengan kajian semula persempadanan, ada beberapa kawasan sahaja dan jadi penukaran nama kita terima baik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Notis 5A kepada 146 penduduk Kampung Kempas Baru, Jalan Permatang, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat.

Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat, semalam, setelah mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undi belah bahagian.

Sementara itu, mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai tindakan menggantung keanggotaan ahli selama dua tahun jika terlibat dalam tindakan mensabotaj parti secara tersurat dan tersirat, Mohamed Khaled berkata ia merupakan peringatan kepada semua anggota komponen.

"Saya ingat, itu peringatan kepada semua lebih-lebih lagi nama-nama calon akan diumumkan dan pilihan raya akan sampai dan memang akan ada yang akan merajuk atau ambil tindakan yang akan memudaratkan parti," katanya.

Dua hari lepas, Tengku Adnan dalam satu kenyataan berkata tindakan penggantungan itu akan dibuat oleh kepimpinan parti komponen masing-masing dengan nasihat kepimpinan tertinggi BN.

Beliau berkata perkara tersebut diputuskan Jawatankuasa Khas BN dalam mesyuaratnya pada 23 Mac lepas.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata penyerahan Notis 5A tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam mensejahterakan rakyat sekali gus memastikan mereka memiliki tanah dan kediaman sendiri.

Beliau berkata Kampung Kempas Baru merupakan petempatan setinggan yang wujud sejak 1970-an dan mengikut rekod, permohonan penduduk bagi pemilikan tanah tidak pernah diluluskan berikutan ia terletak dalam kawasan rizab malaria pada ketika itu.

Katanya, kawasan yang dipohon hanya diberi kelulusan Lesen Pendudukan Sementara pada 19 Julai 1989 manakala permohonan hak milik kediaman ditolak.

"Bagaimanapun, menerusi perbincangan kerajaan negeri dan maklum balas daripada Pejabat Tanah Johor Bahru pada 7 Mac lepas, maka, kerajaan negeri bersetuju permohonan hak milik diberikan kepada 146 pemohon iaitu 139 penduduk yang memiliki rumah di kawasan berkenaan selain tujuh tanah lapang yang dijadikan tapak pelbagai infrastruktur," katanya.

-- BERNAMA