Persempadanan semula tidak jejas kod 24451 - Idris Haron





MELAKA, 29 Mac (Bernama) -- Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat semalam tidak menjejaskan strategi kod 24451 iaitu strategi Barisan Nasional (BN) Melaka dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata jentera BN negeri sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang cabaran termasuk persempadanan semula itu bagi mencapai sasaran 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen.

BN kini memiliki 21 daripada 28 kerusi DUN dan empat daripada enam kerusi Parlimen.

Idris, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata demikian kepada pemberita sebelum merasmikan Program Kitar Semula anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini hari ini.

SWCorp turut memberikan sumbangan RM5,000 kepada sekolah tersebut.

Turut hadir Exco Alam Sekitar Negeri, Datuk Ismail Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Usul kajian semula persempadanan itu menyaksikan penukaran nama Parlimen Bukit Katil kepada Parlimen Hang Tuah Jaya, manakala tiga kawasan DUN yang ditukar Machap kepada Machap Jaya, Bachang kepada Pengkalan Batu dan Bukit Baru kepada Bukit Katil.

Dalam pada itu, Idris berkata usul kajian semula persempadanan itu tidak bersifat berat sebelah sebaliknya neutral bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

"Saya turut terkesan apabila pengundi kawasan Bertam Hulu (dalam DUN Paya Rumput) bertukar ke DUN Sungai Udang, sekali gus meningkatkan jumlah pengundi daripada 18,900 kepada 21,000 orang.

"Saya terpaksa mengawasi lebih ramai pengundi yang mana kita sendiri tidak pasti kecenderungan mereka," katanya, yang juga Anggota DUN Sungai Udang.

-- BERNAMA