PAS Selangor lancar manifesto Gagasan Sejahtera




SHAH ALAM, 29 Mac (Bernama) -- PAS Selangor menerusi Gagasan Sejahtera Selangor hari ini melancarkan manifesto pakatan itu untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menggariskan 10 teras merangkumi 33 janji sekiranya berjaya mentadbir Selangor.

Sepuluh teras tersebut adalah kesejahteraan berkerajaan, kesejahteraan beragama dan budaya, kesejahteraan pendapatan, kesejahteraan pendidikan, kesejahteraan wanita dan keluarga serta kesejahteraan anak muda.

Manifesto tersebut turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan kesihatan, kesejahteraan ekonomi tani, kesejahteraan kediaman dan kesejahteraan alam sekitar.

Manifesto yang bertemakan 'Selangor Sejahtera' dilancarkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sallehen berkata sekiranya PAS berjaya mengambil alih pentadbiran Selangor, parti itu akan membentuk satu sistem pemerintahan dan pentadbiran berasaskan prinsip Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan (ketuhanan, akauntabiliti dan kompeten).

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis pelancaran tersebut, beliau berkata PAS Selangor tidak akan mengumumkan calon menteri besar sebelum PRU14 kerana mahu tumpukan usaha bertanding terlebih dahulu.

-- BERNAMA