Perkhidmatan LRT Sarawak dijangka beroperasi menjelang 2024 - Abang Johari




KUCHING, 29 Mac (Bernama) -- Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Kuching yang menelan kos RM10.7 bilion dijangka bermula menjelang tahun depan dan perkhidmatan itu dijadualkan beroperasi menjelang 2024.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan akan bermula selepas kajian menyeluruh dijalankan berdasarkan senario trafik semasa, permintaan trafik dan koridor transit keutamaan.

Beliau berkata perkhidmatan LRT sepanjang 155.2 kilometer itu merangkumi tiga laluan utama iaitu laluan Kota Samarahan ke Damai melalui Sungai Batu sepanjang kira-kira 62.4 kilometer yang menghubungkan 28 stesen.

"Laluan dua iaitu laluan Serian-Senari sepanjang kira-kira 82 kilometer dengan 26 stesen, bermula di Serian melalui Siburan dan berakhir di Senari. Laluan ini akan mempunyai stesen pertukaran dengan opsyen Kota Samarahan-Damai di Bulatan Simpang Tiga," kata Ketua Menteri.

"Sementara itu, Laluan Tiga sepanjang 10.8 kilometer pula akan menghubungkan 13 stesen," kata beliau pada sidang media mengenai projek LRT, di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Kos pembinaan keseluruhan laluan Kota Samarahan-Damai termasuk 'rolling stock' dianggarkan RM4.5 bilion sementara laluan Serian-Senari ialah RM5.4 bilion, dan laluan ke sekitar pusat bandaraya pula ialah RM819 juta.

Abang Johari berkata projek LRT itu akan mewujudkan peluang-peluang ekonomi dan membuka peluang perdagangan serta memudahkan akses kepada pasaran dan perkhidmatan.

"Pada masa yang sama, ia akan mengubah Kuching menjadi bandar yang lebih dinamik dan berdaya saing di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekejaan."

Selain itu, LRT akan mewujudkan pembangunan berorientasikan transit baharu dan menghubungkan kawasan perumahan yang padat, kawasan perindustrian dan kawasan tumpuan pelancong dan dengan itu memacu pembangunan ekonomi di Kuching.

Beliau berkata tren LRT itu akan menggunakan teknologi Bahan Bakar Hidrogen yang lebih menjimatkan kos dan mesra alam.

"Teknologi ini masih baharu kepada industri kereta api dan ia dijangka menjadi yang pertama seumpamanya dilaksanakan di rantau ini. Tren ini adalah mesra alam kerana ia menggunakan hidrogen dengan bahan produk hanya air dan wap," kata beliau.

-- BERNAMA