Strategi tepat boleh bantu kejayaan BN di P.Pinang




GEORGE TOWN, 29 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dan mempunyai strategi yang betul sekiranya mahu menawan semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid.

Beliau yang merupakan profesor Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata selain strategi, faktor calon adalah penting terutama di kawasan bandar bagi menentukan kemenangan parti.

"Kajian saya sebelum ini mendapati (pengundi) di kawasan bandar melihat kepada calon. Adalah penting bagi BN memilih calon-calon yang disukai oleh pengundi."

"Memilih calon yang dipersetujui pengundi itulah calon yang akan membantu kemenangan BN," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Syed Hussein Idid - Satu Sejarah Ringkas', di sini hari ini.

Syed Arabi berkata bakal calon juga perlu mendekati pengundi secara peribadi dengan membuat lawatan rumah ke rumah agar pengundi di kawasan yang ditandingi menerima mereka.

Pulau Pinang kini berada di bawah pemerintahan DAP selepas Pakatan Harapan menang pada dua pilihan raya umum lepas. Pada pilihan raya umum ke-13, DAP memperoleh 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR 10 kerusi dan PAS satu kerusi manakala BN melalui UMNO menang di 10 kerusi DUN.

Ditanya mengenai hasrat PAS yang akan bertanding di 144 kerusi Parlimen pada PRU14, Syed Arabi berkata langkah parti itu akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru yang tidak pasti akan menguntungkan pihak mana.

"PAS secara bersendirian tidak begitu kuat dan berdasarkan pencapaian lepas, parti itu hanya menguasai kurang 20 peratus kerusi Parlimen."

"Setakat ini, kita tidak tahu pertandingan tiga penjuru akan menguntungkan pihak mana. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kata nak letakkan (calon) di 144 kerusi. Tak pernah PAS begitu ramai calon," katanya.

Terdahulu, Syed Arabi menyampaikan syarahan mengenai sejarah tokoh terkenal di awal pembangunan Pulau Pinang, Tengku Syed Hussein Idid yang memainkan peranan penting dalam sejarah tanah jajahan British itu semasa Pulau Pinang berada di awal tempoh pembangunan dan perdagangan di Asia Tenggara.

-- BERNAMA