Perintah Perlembagaan Persekutuan Persempadanan Bahagian Pilihan Raya 2018 Diwartakan Hari Ini
PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengeluarkan titah perintah untuk menguatkuasakan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 bermula hari ini.
Dalam warta kerajaan Persekutuan berkenaan, titah perintah baginda itu dikeluarkan supaya syor-syor yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertarikh 6 Mac hendaklah berkuat kuasa dari tarikh perintah itu berkuat kuasa.
Warta kerajaan Persekutuan itu disiarkan di portal www.federalgazette.agc.gov.my Jabatan Peguam Negara.
SPR telah mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan mengkaji semula pembahagian Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) kepada bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri-Negeri Tanah Melayu kepada bahagian-bahagian pilihan raya negeri.
SPR telah mengemukakan laporan yang mengandungi syor-syor berkenaan dengan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri dalam negeri-negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) kepada Perdana Menteri pada 9 Mac.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat.
Laporan kajian semula persempadanan itu mengesyorkan tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sekali gus mengekalkan 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi DUN.
SPR juga mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN di Semenanjung Malaysia.
Kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan pada 2003 dan menurut Perlembagaan Persekutuan, ia perlu diadakan sekurang-kurangnya lat lapan tahun.
Usul itu menerima sokongan 129 anggota Parlimen berbanding 80 yang menolak. Keputusan tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas undian.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggulung perbahasan usul itu setelah ia dibahaskan oleh 14 anggota Parlimen dari Barisan Nasional dan pembangkang.
-- BERNAMA