Persempadanan baharu tidak beri kelebihan - Zambry
LUMUT, 29 Mac (Bernama) -- Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyangkal dakwaan pembangkang bahawa proses kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengerus BN Negeri itu berkata dakwaan itu sebaliknya hanya untuk mewujudkan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.
Malah, beliau menegaskan bahawa sempadan baharu kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang diwartakan hari ini, tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya mengikut kesesuaian sesuatu kawasan.
Menurutnya, perubahan tempat dan nama kawasan dalam sempadan baharu itu bukan sahaja berlaku di Perak malah di Johor, Selangor dan negeri-negeri lain.
"Sebelum ini, ada kawasan-kawasan kubu kuat BN, tetapi sekarang sudah tidak berada dalam kawasan kita," katanya pada sidang media selepas melawat penduduk di Kampung Kelantan, Teluk Muroh, di sini hari ini.
Beliau berkata susulan penyusunan semula kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM), jentera BN perlu mengenal pasti PDM atau sesuatu lokaliti dan berusaha keras dengan melibatkan semua jentera parti BN.
-- BERNAMA