Kajian semula persempadanan representasi wakil rakyat beri perkhidmatan terbaik
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat Rabu lepas membolehkan wakil rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing, kata Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan menggunakan cara kotor untuk Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum akan datang.
"Apa yang kotornya, kajian semula dibuat dalam kawasan yang difikirkan munasabah untuk diubah.
"Ia bukan berlaku waktu Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) sahaja tetapi dah berlaku tiga kali ketika pemerintahan terdahulu, Tun Dr Mahathir (Mohamad)," katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan foto sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.
Usul kajian semula persempadanan itu yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diluluskan Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undi belah bahagian, dengan 129 menyokong dan 80 menolak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia, dan juga mengesyorkan tiada perubahan bilangan kawasan Parlimen dan DUN di Semenanjung.
Pada majlis itu, jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Zulhilmi Daud memenangi tema 'Love' dalam pertandingan tersebut dan membawa pulang wang tunai RM300 serta mesin pencetak berjenama Canon.
Muhammad Zulihilmi menghantar penyertaan gambar Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak bersama seorang bayi yang dirakamnya ketika membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO pada Disember lepas.
Hadiah utama dimenangi jurufoto The New Straits Times Press (NSTP) Muhammad Syarafiq Abd Samad.
-- BERNAMA